Tawassul + Yakin..ALLAH dekat diHATI.

Friday, March 4, 2011 ·


Imam al-Bukhari meriwayatkan dalam kitab sahihnya akan perlakuan para sahabat dalam bertabarruk dengan air bekas wuduk Junjungan Nabi SAW. Demikian dahsyat dan bersungguh-sungguhnya mereka bertabarruk dengannya sehingga Imam al-Bukhari meriwayatkan yang mereka seolah-olah hampir saling berbunuh-bunuhan kerana berebut-rebut mendapatkan bekas air wuduk baginda. Kalaulah kita hadir pada ketika itu, bagaimanakah sikap dan tanggapan kita terhadap perlakuan para sahabat tersebut ? Adakah kita akan menghukum mereka sebagai keterlaluan dalam perbuatan “ngalap berkat” Junjungan SAW melalui bekas air wuduk baginda? Sudah tentu kita tidak akan berani memberi kritikan sedemikian terhadap para sahabat yang mulia radhiyaAllahu `anhum ajma`in.


Sesungguhnya amalan bertabarruk dan bertawassul dengan Junjungan Nabi s.a.w. adalah sesuatu yang tidak pernah menjadi tegahan di sisi Ahlus Sunnah wal Jama`ah yang sebenar. Hanya tokoh seperti Ibnu Taimiyyah al-Harrani yang cepat menghukumkannya sebagai haram dan sebagainya. Bertawassul merupakan satu sebab bagi menghasilkan permohonan kita daripada Allah SWT. Doa yang merupakan ibadah merupakan satu wasilah, tawassul merupakan satu lagi wasilah, maka jika seseorang berdoa dengan bertawassul, maka dia mempersembahkan dua sebab agar Allah mengabulkan permintaannya. Allahu .. Allah, jika ditambahkan lagi dengan wasilah tempat yang suci seperti tanah haram, waktu yang berkat seperti hari `Arafah, ditambah lagi dengan melakukan amalan sholeh yang lain sebelum berdoa seperti bersedekah, maka makin banyaklah sebab dihadapkan kepada Allah agar permintaan kita ditunaikanNya, walaupun hak kuasa mutlak tertentu bagi Allah SWT yang menjadikan sekalian sebab. Fahamilah wahai ikhwah, agar kalian tidak gegabah menghukum orang yang bertawassul dan menjadi seorang yang fobia dengan tawassul.

Berbalik kepada kisah tabarruk para sahabat, maka Tok Guru Nik ‘Abdul `Aziz bin Nik Mat hafizahUllah, dalam karya beliau “Rasulullah Muhammad S.A.W. insan teladan sepanjang zaman”, turut mengisahkan perlakuan tabarruk mereka dalam satu bab khusus dengan tajuk “Tabarruk Digalakkan dan Disyariatkan oleh Islam”. Tok Guru juga turut memperkatakan berhubung persoalan tawassul dengan Junjungan Nabi SAW setelah baginda wafat. Pada halaman 175 – 176, Tok Guru menulis, antara lain:-

Oleh yang demikian, apabila telah mengetahui bahawa mengambil berkat dengan sesuatu itu bererti mencari kebaikan melaluinya. Maka fahamlah bahawa bertawassul ataupun bertabarruk dengan kesan-kesan baginda itu adalah suatu perkara yang digalak dan disyariatkan oleh Islam. Lebih-lebih lagi mengambil berkat daripada zat Nabi yang mulia.

Mengambil berkat daripada kesan Nabi itu tiada beza antara semasa hidup ataupun selepas baginda wafat. Kerana para sahabat di zaman hidup Rasulullah SAW mengambil berkat dengan air basuhan wuduk baginda, ataupun air peluh dan juga air ludah serta rambut baginda. Kesan-kesan itu sama sahaja selepas wafatnya, semuanya bukanlah suatu yang hidup dan keadaannya sama semasa hayat baginda.

Sebagaimana yang telah dijelaskan dalam Sahih Bukhari. Ramai orang menjadi sesat selepas kewafatan Rasulullah SAW, kerana dalam hati mereka tiada kasih kepada baginda. Mereka telah menidakkan tawassul terhadap zat baginda selepas wafatnya. Mereka menganggap bahawa kesan keberkatan Rasulullah SAW itu telah habis apabila baginda wafat. Jika bertawassul selepas baginda wafat bererti bertawassul kepada suatu yang tidak berkesan.

Hujah seperti itu menunjukkan bahawa mereka sebenarnya jahil mengenai Rasulullah SAW. Persoalannya, adakah semasa hayat baginda ia memberi kesan? Sedangkan kesan hanya datang daripada Allah SWT sebagai Khaliq, tiada makhluk yang memberi kesan. Tiada siapa pun boleh mendakwa bahawa Rasulullah SAW boleh memberi kesan secara peribadi semasa hayatnya. Kerana dakwaan itu telah disepakati boleh membawa kerosakan akidah.

Para sahabat mengambil berkat daripada kesan-kesan baginda, bukan kerana baginda boleh memberi kesan. Tetapi baginda adalah seafdal-afdal manusia di muka bumi ini. Seluruh makhluk di langit atau di bumi, hanya Rasulullah SAW sahaja orang yang menjadi kesayangan Allah SWT. Baginda juga menjadi rahmat Allah kepada seluruh alam. Ia adalah tawassul disebabkan Rasulullah SAW sangat akrab dengan Allah SWT, melalui bagindalah seluruh makhluk mendapat rahmat daripada Allah SWT.
Jelas Tok Guru Nik `Abdul `Aziz tidak anti – tawassul dan tabarruk, bahkan Tok Guru dengan tegas menyatakan bahawa mereka – mereka yang melarang bertawassul dengan Junjungan Nabi s.a.w. setelah baginda wafat adalah orang-orang yang sesat yang tidak ada kasih dalam hati mereka kepada Junjungan Nabi SAW. Maka hendaklah kalian ambil perhatian. Bahkan Tok Guru sewaktu perasmian bangunan Pusat Tarbiyyah Islam Kelantan (PUTIK) pada 23 Ogos 2001 telah memperkenalkan Doa an-Nashiri yang disusun oleh seorang waliyullah Sidi Muhammad bin Nashir ad-Dar`i rahimahUllah. Dalam doa tersebut terkandung tawassul dengan Junjungan Nabi SAW, para awliya` pelbagai maqam seperti quthub, awtad, abdal, nujaba` dan nuqaba`. Oleh itu kalau pun tak mahu bertawassul, janganlah mudah-mudah menuduh orang yang bertawassul sebagai syirik dan sebagainya. Moga taufiq dan hidayahnya Allah dianugerahkanNya kepada kita sekalian berkat jah Sayyidina wa Mawlana Muhammad SAW yang menjadi rahmat bagi sekalian alam.



Admin

My photo
“Sesungguhnya sejarah Islam tidaklah ditulis melainkan dengan darah Para Syuhada, dengan kisah Para Syuhada, dengan teladan Para Syuhada”“Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang kafir tidak menyukai. Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai” At-Taubah:32-33. alzubair_mujahidin@yahoo.com

Blog Pimpinan

Arkib

Followers