Salam Eid Adha

Sunday, November 14, 2010 ·

الحمد الله الذى ارسل رسوله بالهدى ودين الحق ليظهره على الدين كله ولو كره المشركون

Sesungguhnya, tiada kalam yang lebih Agung hanya dengan pujian dan syukur yang tidak terhingga kita rafa' kan kehadrat Rabbul A'lamin serta diringi laungan takbir, tasbih, tahmid dan tahlil memuji serta membesarkan keagungan Allah Taala. Selawat dan salam keatas junjungan mulia kekasih Allah Nabi Muhammad s.a.w, ahli keluarga baginda, para sahabat tabi' dan tabien seterusnya sahabat-sahabat penyambung mata rantai perjuangan risalah kebenaran.


Alhamdulillah, dikesempatan ini kita masih diberi nikmat kehidupan dan pancaindera oleh Allah S.W.T. Bulan ZULHIJJAH merupakan bulan terakhir dalam kalendar Islam hijri dan salah satu daripada empat bulan haram (mulia lagi dihormati) di dalam Islam. Sesungguhnya kedatangan Zulhijjah ini mengingatkan kita dengan Hari Raya Aidul Adha atau Hari Raya Korban. Aidiladha adalah perayaan istimewa kerana terdapat kisah pengorbanan Nabi Ibrahim dalam menunaikan perintah Allah dan kesabaran anaknya Nabi Ismail dalam memenuhi perintah Allah S.W.T. Hari Raya Korban jatuh pada 10 Zulhijjah merupakan tarikh penting dalam sejarah Islam di mana Nabi Adam dan isterinya Hawa dikeluarkan dari syurga dan diturunkan ke bumi sebelum berjumpa di padang Arafah. Dan juga pelbagai rentetan peristiwa penting didalam sejarah Islam yang berlaku didalam bulan mulia ini.

Sahabat-sahabat yang dikasihi kerana Allah S.W.T,

Hari Raya Aidil Adha disambut ketika umat Islam membuat penziarahan ke Mekah dengan mengunjungi Kaabah. Pada bulan yang mulia ini, ramai diantara kita yang bercita-cita untuk dipilih oleh Allah S.W.T mengerjakan rukun Islam yang kelima bagi yang berkemampuan. Bulan ZULHIJJAH merupakan bulan penyatuan ummah sebagaimana yang diadaptasi oleh mereka yang berhimpun tidak mengira bangsa,usia,warna kulit dan sebagainya semasa menunaikan ibadah Haji. Namun manfaat konsep penyatuan ummah ini perlu dihayati oleh semua umat Islam didalam perencanaan agenda dari pelbagai sudut kehidupan bermula dari sudut sosial, ekonomi dan politik. Justeru itu, selaku mahasiswa Islam kita perlu menyedari kepentingan konsep hidup berjemaah,sentiasa menjaga ukhuwwah dan bersatu seterusnya menjadikan bulan Zulhijjah kali ini sebagai satu momentum untuk kita melakukan anjakan kearah membentuk kesatuan fikrah yang lebih baik sesama kita dan umat Islam khasnya. Dan ini memerlukan satu usaha yang jitu serta diusahakan bersama bagi mengelakkan perpecahan diantara kita dan demi memelihara kesucian serta keizzahan Islam sendiri.

Muslimin muslimat yang dirahmati Allah sekalian ,

Bulan ZULHIJJAH memberikan pengajaran tentang konsep pengorbanan. Al-Quran tidak menyatakan, tetapi Ulamak Islam memegang bahawa perayaan korban ini sebagai memperingati kesanggupan Nabi Ibrahim untuk menyerahkan anaknya Nabi Ismail sebagai korban kepada Allah S.W.T sepertimana kisah pengorbanan ini dirakamkan didalam surah As-Soffat ayat 101 sehingga ayat 108. Bagaimana naluri seorang ayah yang baru sahaja menemui anaknya namun diminta untuk menyembelih anak kesayangan tetapi ketaqwaan dan ketaatan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail mengatasi segala yang ada didunia ini demi mematuhi perintah Allah S.W.T. Terlalu banyak pengajaran yang dapat di teladani melalui kisah pengorbanan ini supaya difikirkan bersama bagaimana untuk kita melahirkan mahasiswa yang mempunyai tahap ketaqwaan yang tinggi seperti Nabi Ibrahim dan mahasiswa yang yang mempunyai tahap ketaatan yang padu seperti Nabi Ismail yang sanggup berkorban untuk Islam. Maka sifat pengorbanan dari pelbagai aspek seperti harta, masa dan kehidupan peribadi perlu disemai dan dibajai didalam jiwa mereka yang bergelar pendokong Islam agar memudahkan gerak kerja dakwah itu sendiri. Begitu juga didalam konteks kita sebagai seorang mahasiswa dan penuntut ilmu maka konsep tadhiyyah dan mujahadah amatlah diperlukan untuk menghadapi mehnah didalam melalui rutin kehidupan seorang pelajar yang cemerlang di dunia dan akhirat.
Tuntasnya, marilah kita muhasabah diri bersama serta menilai tahap pengorbanan yang pernah diberikan untuk amal Islami. Adakah kita sanggup melakukan pengorbanan dan terkorban demi memartabatkan keizzahan Islam di persada dunia? Jika jawapannya tidak, maka kita perlu mengkoreksi diri kita kembali dan menilai sejauh mana tahap ketaqwaan, ketaatan dan tahap tadhiah kita terhadap suruhan dan larangan Allah S.W.T.

Akhirnya, s mengucapkan Selamat Hari Raya Aidil Adha Maaf Zahir Dan Batin diatas segala khilaf yang ada. Siiru ‘ala barakatillah.

“Tingkatkan Thaqofah Jalinkan Ukhuwwah”
Muhammad Al Zubair Bin Abd Samad

'Baca seterusnya'



Admin

My photo
“Sesungguhnya sejarah Islam tidaklah ditulis melainkan dengan darah Para Syuhada, dengan kisah Para Syuhada, dengan teladan Para Syuhada”“Mereka berkehendak memadamkan cahaya (agama) Allah dengan mulut mereka, dan Allah tidak menghendaki selain menyempurnakan cahaya-Nya, walaupun orang-orang kafir tidak menyukai. Dialah yang telah mengutus Rasul-Nya dengan membawa petunjuk dan agama yang benar untuk dimenangkan-Nya atas segala agama, walaupun orang-orang musyrik tidak menyukai” At-Taubah:32-33. alzubair_mujahidin@yahoo.com

Blog Pimpinan

Arkib

Followers